SELAMAT TINGGAL SERI AL UMMAH TAIPING

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera.






Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga sekolah SERI AL UMMAH, Taiping, tak kira sama ada pekerja am, staf sokongan, guru-guru, para murid dan ibu bapa sekalian kerana telah memberi banyak sumbangan daripada segi tenaga, kewangan dan bantuan peribadi sepanjang tempoh perkhidmatan saya di SERI AL UMMAH, Taiping dalam melahirkan modal insan yang berprestasi tinggi serta mengembangkan potensi anak-anak ini.

Coretan hari ini mungkin coretan terakhir sebelum saya mengundurkan diri dari SERI AL UMMAH, Taiping secara rasmi pada 31 Mac 2021. Dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan memohon 1000 kemaafan dari hujung kaki ke hujung rambut jika ada sebarang kekhilafan dan keterlanjuran kata-kata yang mungkin menggores hati semua.









Permulaannya pada  1 April 2013, saya diterima menjejakkan kaki di sekolah SERI AL UMMAH, Taiping dengan 1000 harapan dan hanya berbekalkan sedikit pengalaman. Tahun 2014 saya menaiki satu lagi anak tangga iaitu diamanahkan menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan Kokurikulum. Inilah yang membuatkan semangat saya terus berkobar-kobar untuk menjadikan sekolah SERI AL UMMAH, Taiping melahirkan atlet yang setaraf dengan sekolah-sekolah lain.


Dari situlah, BSMM diwujudkan bagi mengisi ruang kekosongan Pasukan Unit Beruniform. Kemudian, Kelab B. Arab, Persatuan B. Melayu, Persatuan B. Inggeris, Kelab Matematik dan lain-lain diwujudkan dalam ruangan Persatuan & Kelab. Bagi permainan pula, pada masa itu, dengan ruangan yang agak terhad dan sempit, saya hanya mewujudkan pasukan Badminton & pasukan Olahraga sahaja. 


Kemudian, dari tahun ke tahun, kejayaan semasa berada di puncak semakin dirasai. Pasukan BSMM SERI AL UMMAH, Taiping pernah ke Peringkat Antarabangsa serta tiap-tiap tahun ke Peringkat Negeri. Kemunculan Pasukan Taekwondo pada 2017 menyemarakkan lagi kemaraan anak didik SERI AL UMMAH, Taiping. 3 tahun berturut-turut ke Peringkat Antarabangsa dan Asean.


Selain itu, saya juga memfokuskan kepada Sukan dan Permainan. Alhamdulilah, berkat sokongan dan dukungan padu ibu bapa dan guru pemimpin, pasukan Takraw telah berjaya sampai ke Peringkat Negeri Perak pada tahun 2019. Pasukan Badminton telah 3 tahun berturut-turut mencartai 5 pemain terbaik daerah LMS. Untuk olahraga, pasukan ini telah 2 tahun berturut-turut menjuarai Larian Berpagar 80m. Manakala untuk acara balapan lain, semuanya menduduki carta 5 tertinggi. Inilah antara kemanisan dan kejayaan murid SERI AL UMMAH, Taiping yang tak akan saya lupakan.


SERI AL UMMAH, Taiping telah mendaftar untuk penyertaan peringkat Daerah, Negeri dan Kebangsaan hasil doa ibubapa, guru-guru dan murid juga. Saya sendiri turun-naik pejabat JPN dan PPD bagi 'menadah' telinga dan bertegas menyatakan SERI AL UMMAH, Taiping mampu melahirkan atlet serta mampu berdaya saing dengan sekolah-sekolah lain. Saya juga tidak pernah rasa tergugat dengan kehadiran sekolah-sekolah elit dalam pertandingan. Bagi saya, penyertaan di peringkat ZON, DAERAH, NEGERI & KEBANGSAAN adalah lebih penting. Menang atau kalah bukannya ukuran sebenar. Kita sudah dapat "masuk" gelanggang pun sebenarnya sudah dianggap pemenang.


Saya tidak pernah malu untuk mengaku bahawa SERI AL UMMAH, Taiping merupakan tempat di mana saya menimba pengalaman. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan barisan VIP. Saya juga diberi penghormatan melalui nama SERI AL UMMAH, Taiping. Saya tidak pernah rasa kekok dalam menyatakan kehadiran sebuah sekolah agama ini dapat menyatupadukan kita sesama guru LMS. 


Pengalaman bersama YTP ABIM juga saya akan kenang sampai bila-bila. Mana tidaknya, mesyuarat dan bengkel inilah yang sebenarnya mampu meningkatkan kefahaman bidang kokurikulum secara amnya. Perselisihan pendapat, kritikan dan pujian itu adalah perkara biasa. Itulah sebenarnya kemanisan perhubungan yang tercipta antara semua sekolah ABIM di Seluruh Malaysia. Saya belajar satu demi satu pengalaman di sekolah-sekolah ABIM yang lain. Cedok ilmu sini, kaut ilmu sana, ambil ilmu situ, lalu saya abadikan di SERI AL UMMAH, Taiping mengikut acuan & kesesuaian sekolah.


Semuanya telah berakhir kerana, pada 23 Mac 2021 saya telah menerima e-mel daripada SPA yang memerlukan perkhidmatan saya pula. Alhamdulilah, berkat doa semua yang mengenali saya, saya dapat terjun ke jawatan sektor kerajaan secara tetap. Suasana gembira menjadi pilu. Angin mula berpuput-puput bayunya mengiringi suasana itu seolah-olah bersedih dengan berita itu. Lantas, saya memaklumkan kepada PK 1, PK HEM dan PK Addiniah atas hajat saya itu. 


Saya menghantar surat secara rasmi kepada GB yang menyatakan saya ingin meletakkan jawatan sebagai PK Kokurikulum. Beliau hanya terdiam. Sepi. Tidak berkata apa-apa. Hanya tersentap dan mungkin memikirkan. Murid-murid yang sudah menerima perkhabaran itu, mula berjumpa saya, seorang demi seorang. Ada yang ingin "selfie", ada yang memberi hadiah kenang-kenangan, ada juga yang berikan kad ucapan. Terharu & pilu saya lihat gelagat anak-anak ini.


26 Mac 2021, mesyuarat akhir saya sebagai guru di sini. Tiba-tiba, ada kejutan daripada sebahagian ibu bapa yang menghantar kek, pulut kuning dan hadiah kepada saya. Suasana mesyuarat kembali menjadi sedih. Saya tidak dapat menahan air mata. Manik-manik air mata terus jatuh membasahi bumi. Titisan-titisan itu menjadi saksi suasana pilu. Tidak terkata apa-apa. Hadiah, makanan dan ucapan di depan mata membuatkan hati saya luluh dan gugur. 


Dalam kesempatan ini, saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua ibu bapa dan guru yang mengorbankan "wang" untuk saya. Saya tidak pernah minta apa yang tuan-tuan dan puan-puan hulurkan ini. Cukuplah dengan iringan doa dan keberkatan daripada tuan-tuan dan puan-puan mengisi ruang hati saya. 


Saya mendoakan agar PK Kokurikulum yang baharu kelak agar meneruskan legasi yang telah saya tinggalkan selama 8 tahun. Tak lupa kepada sahabat-sahabat Penolong Kanan Pentadbiran, HEM dan Addiniah, andalah sahabat, andalah kakak dan andalah hakim yang menghakimi saya dengan kritikan, pandangan, pujian ataupun sindiran. Saya sedar, itu semua untuk pembangunan diri dan organisasi. Saya juga mendoakan agar SERI AL UMMAH, Taiping terus maju dan cemerlang mendidik anak bangsa serta membuka mata masyarakat dalam menyempurnakan misi dan visi Rasulullah SAW, melahirkan insan Soleh & Musleh.


Sekian, jumpa lagi.


"KOKURIKULUM AKTIFKAN MODAL INSAN"


AMIR AKHMAL BIN BAHARIN

27 Mac 2021


Ulasan

  1. Semoga lebih brjaya cikgu amir di tmpt bru.. Halalkn segala ilmu n salah silap anak2 seri Al ummah❤️❤️

    BalasPadam
  2. Semoga semuanya yg terbaik kerana Allah swt.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE KL DAN PUTRAJAYA

HARI BERTEMU WARIS PERTENGAHAN TAHUN