KEJOHANAN SUKAN TAHUNAN KE-18 TAHUN 2019
Assalamualaikum WBT.
Alhamdulillah, tercipta lagi satu sejarah bahawa Kejohanan Sukan Tahunan Ke-18 Sek. Ren. Islam Al Ummah Taiping dalam keadaan 'sejuk dan nyaman'.
Keadaan yang sebegini tidak mematahkan semangat para atlet SERI TAIPING untuk mengambil bahagian dalam acara-acara yang bakal dipertandingkan. Majlis bermula tepat jam 8.30 pagi dengan ketibaan perasmi, Encik Mohd. Noor Nizam selaku pegawai khas ADUN Aulong, YB Nga Kor Ming.
Acara perbarisan mula memenuhi ruang pada jam 8.45 pagi yang telah menerima tabik hormat oleh perasmi. Seterusnya, semua acara sukaneka berlangsung diikuti dengan acara balapan.
Tahun ini, warga SERI TAIPING mengambil langkah menggilap beberapa orang murid sedari kecil untuk mengambil bahagian di peringkat zon, daerah, negeri mahupun kebangsaan. Pendekatan kali ini bukan sahaja dapat mengira potensi, malah mengembangkan bakat murid sejak tahun satu lagi. Inilah hasilnya apabila murid diberi ruang dan peluang serta disokong dan didokong oleh ibubapa mereka sendiri.
3 tahun berturut-turut, Rumah Ibnu Hibban masih lagi mengekalkan kejuaraannya. Taringnya masih berbisa. Kelincahan para atletnya berkembang dari tahun ke tahun. Semangat kesukanan yang ditonjolkan juga menyebabkan Rumah Ibnu Hibban terus unggul mencapai kejuaraan.
Tahun ini juga, kategori Olahragawan & Olahragawati diwujudkan bagi menggalakkan murid yang berpotensi ini terus melangkah jauh dalam arena sukan dan kokurikulum.
Untuk Olahragawan Sulung kali ini, adik Adam Harris b Hairul Azhar dengan 2 Pingat Emas dan 1 Pingat Perak manakala Olahragawati Sulung pula telah dimenangi oleh adik Nurul Aisyah bt Fakri juga menerima 2 Pingat Emas dan 1 Pingat Perak.
Tahniah kepada semua ibu bapa, sukarelawan, BSMM SMK Taman Panglima, SK Asam Kumbang, BAKA, BAGUS dan semua pihak yang menyumbang bakti, tenaga, wang ringgit serta masa demi menjayakan Kejohanan Sukan Tahunan Ke-18 kali ini. Sesungguhnya kita semua adalah yang terbaik.
Akhir kata, yang mana baik itu datangnya daripada Allah SWT, dan yang mana buruk itu tak lain dan tak bukan, datangnya daripada keburukan dan kealpaan kami sendiri. Insya Allah. Semoga bertemu lagi.
'KOKURIKULUM AKTIFKAN MODAL INSAN'
Ulasan
Catat Ulasan